Gov News

Kerajaan ‘cakap serupa bikin’ akan cepat tunaikan janji PRN Sabah  

KERAJAAN MADANI akan memperincikan kaedah pelaksanaan janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, dengan mesyuarat penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dijadualkan bulan ini bagi memastikan semua projek dapat dilaksanakan dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan janji tersebut dan bukannya menangguhkan komitmen selepas pilihan raya.

Katanya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada rakyat Sabah semasa lawatannya ke negeri berkenaan semalam.

“Dan saya sebut di situ, pilihan raya sudah berlalu, tanggungjawab kita menyegerakan apa yang kita janjikan. Ini berbeza, orang politik dan pimpinan politik berjanji sebelum pilihan raya dan meninggalkan janji itu.

“Kita janji dalam tempoh seminggu kita turun, menetapkan kaedah pelaksanaan. Di sana masih terbelenggu masalah api, air dan jalan.

“Oleh itu, kita tetapkan supaya bulan Disember ini juga ada mesyuarat penyelarasan memantau pelaksanaan. Kalau ada 250 projek utama, maka mesti dipantau setiap projek itu, mesyuarat setiap bulan antara Persekutuan dan negeri dan ini jadi contoh terbaik yang boleh kita lakukan untuk melaksanakan kata-kata kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.

Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan Projek Lebuhraya Pan Borneo akan terus dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual.

“Pan Borneo di mana RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak itu akan diteruskan dengan lebih teratur dan berkesan.

“Tahniah… sudah beres dengan jayanya di Sarawak dan kita setuju untuk berikan laluan ‘red line’ tambahan ke Sarawak dan ke Sabah.

“Nampak pertama kali sejak projek itu diluluskan 10 tahun lalu, ini kali pertama perjalanan pelaksanaannya jauh lebih teratur dan berkesan dan insya-Allah mengikut jadual,” katanya.

Back to top button