Madani News

Jangan politikkan UEC, rakyat bebas pilih sistem pendidikan – Johari

TIDAK perlu mempolitikkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana rakyat bebas memilih sistem pendidikan masing-masing, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Naib Presiden UMNO itu berkata, perkara paling asas yang perlu dijaga ialah sikap saling hormat terhadap sistem pendidikan yang wujud dalam negara.

“Setiap ahli politik mempunyai pandangan masing-masing, namun perkara paling asas ialah memastikan rakyat dapat menghormati kepelbagaian yang wujud dalam negara.

“Jika anda rasa anda tidak suka UEC, maka tidak perlu mengambil aliran itu. Jika ada yang suka UEC, dan mereka fikir ia diiktiraf di peringkat antarabangsa, itu pilihan mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran UK – PACT 2.0, di ibu negara, hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Malaysia menyediakan pelbagai laluan pendidikan bergantung kepada keperluan dan pilihan masing-masing.

“Dalam negara kita, terdapat banyak pilihan, universiti mana yang mahu dimasuki, aliran apa yang mahu diambil termasuk arus perdana mana yang mahu dipilih. Tidak ada paksaan.

“Tetapi jika anda masuk sekolah kebangsaan, ia sudah mempunyai silibus yang ditetapkan dan diselaraskan. Jadi saya rasa kita tidak perlu mempolitikkan perkara seperti ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menempelak DAP dengan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi. 

Back to top button