Malaysian News

BN yang kerjasama dengan PH, UMNO tiada hubungan langsung dengan DAP – Zahid

UMNO tidak mempunyai hubungan langsung dengan DAP, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Presiden UMNO itu menegaskan, ia hanya kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana MCA merupakan parti komponen dalam BN dan DAP pula adalah parti komponen dalam PH, maka asas utama kerjasama ini bukanlah parti ke parti tetapi gabungan ke gabungan.

“Perkara ini boleh diselesaikan dan kesefahaman dapat dicapai,”  katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Lawatan Rasmi di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute di Gombak, semalam.

Beliau menjawab gesaan MCA supaya parti-parti komponen BN tidak meneruskan kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Sebelum ini, Perhimpunan Agung Tahunan MCA meluluskan resolusi menolak kerjasama dengan DAP pada PRU16 dengan alasan ideologi berbeza dua parti terbabit.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata parti itu juga akan menentukan hala tuju sendiri jika mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan DAP dalam apa jua bentuk semasa pilihan raya itu.

“Jika mana-mana parti komponen BN bekerjasama dengan DAP dalam apa jua bentuk semasa pilihan raya umum akan datang, ia membuktikan semangat BN telah mati.

“MCA mestilah bertanding dalam PRU dan PRN akan datang, serta berusaha sepenuhnya untuk mendapatkan mandat rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, keutamaan ketika ini adalah rasionaliti politik khususnya berkaitan bila PRU akan diumumkan.

Soal kerjasama perkara itu akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN dan PH untuk ditangani secara bersama

Back to top button