
Anwar rakam takziah, kecam serangan di Sydney
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden serangan di Sydney dan mendoakan mereka yang cedera supaya segera pulih sepenuhnya.
“Saya merakamkan ucapan takziah setulus hati kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera agar segera sembuh,” katanya menerusi Facebook.
Anwar berkata, beliau amat terkejut dengan serangan berkenaan yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan ramai lagi serta mengecam tindakan itu sekeras-kerasnya.
“Tiada sebarang justifikasi untuk keganasan terhadap orang awam, apatah lagi serangan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama, sama ada pada bila-bila masa atau di mana-mana.
“Tindakan sedemikian tidak mempunyai asas dalam mana-mana agama atau kepercayaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia bersolidariti dengan rakyat dan kerajaan Australia pada masa sukar ini serta memberi sokongan penuh terhadap segala usaha bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenal pasti serta diadili mengikut lunas undang-undang.
Terdahulu, Xinhua melaporkan, memetik Premier New South Wales (NSW) Chris Minns bahawa sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam kejadian tembakan di Bondi Beach, Sydney pada malam Ahad.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata dalam satu kenyataan bahawa kejadian di Bondi adalah “mengejutkan”, dan Minns menggambarkan insiden itu sebagai amat menyedihkan.


