Madani News

Kementerian Komunikasi siap siaga hadapi banjir besar – Fahmi

PERSEDIAAN pada tahap kesiapsiagaan tinggi telah dilakukan Kementerian Komunikasi dalam menghadapi kemungkinan banjir besar pada awal tahun depan, kata Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata, pihaknya akan memastikan kelancaran komunikasi dan capaian rangkaian tidak terganggu selain memberi tumpuan utama dalam memastikan pemulihan segera rangkaian komunikasi dan kesalinghubungan di kawasan terjejas kekal berfungsi serta bantuan diberikan kepada mangsa.

Fahmi berkata, pengalaman banjir besar yang melanda beberapa daerah di Kelantan awal tahun ini menjadi pengajaran penting untuk memperkukuh persediaan, khususnya melibatkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan penyedia prasarana menara komunikasi.

“Semasa banjir besar awal tahun (ini), banyak menara (komunikasi) yang sangat terkesan sampaikan jambatan hanyut, kabel yang ditanam (di bawah tanah) pun patah (akibat banjir). Jadi, saya sudah minta supaya pasukan berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual Bernama diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Duraj Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi M. Saraswathi, hari ini.

Fahmi menambah, hasil kerjasama rapat dengan syarikat telekomunikasi, tindakan pantas akan diambil bagi menghidupkan semula menara komunikasi yang terkesan sebaik sahaja bekalan elektrik dan sambungan gentian dipulihkan.

“Alhamdulillah, tahun ini tahap kesiapsiagaan kita lebih baik, terutama persiapan kerjasama dengan telco (syarikat telekomunikasi) untuk pastikan menara yang terkesan akibat banjir dapat dihidupkan dengan segera tertakluk kepada bekalan elektrik dan fiber.

“Kedua, untuk pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapkan dengan (perkhidmatan) WiFi dan sekiranya perlu, Starlink. Jadi, kali ini jauh lebih pantas pergerakan pasukan dan telco pun mainkan peranan yang sangat besar dan penting untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Fahmi turut memaklumkan kementerian dan agensi terlibat telah melaksanakan langkah site hardening di menara komunikasi termasuk menaikkan struktur peti elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi mengelak kerosakan akibat paras air yang meningkat.

“Baru-baru ini, saya melawat satu kawasan menara di Moyog, Sabah. Kawasan itu apabila banjir baru-baru ini, air bah naik sampai ke tahap bahu dan waktu itu habis tenggelam prasarana dan kotak peti elektrik TNB. Jadi, peti itu telah dinaikkan dengan cara yang sangat baik, pantas, teknologi yang mudah, tetapi kos dapat dikawal. Kita percaya tak berlaku lagi masalah (itu),” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata kementerian melalui agensi di bawahnya sentiasa bersiap siaga dalam menghulurkan bantuan kebajikan, termasuk menerusi penubuhan Skuad Ehsan MADANI serta kewujudan tabung bencana di bawah kementerian itu.

Beliau berkata khusus untuk kebajikan pengamal media, kementerian turut menyediakan Tabung Kasih @HAWANA, yang disifatkan mencukupi dan bersedia untuk membantu sekiranya terdapat wartawan atau ahli keluarga mereka yang terkesan akibat bencana.

“Dari segi tabung, saya dapati kita sangat bersedia dan mencukupi untuk membantu sekiranya ada keluarga yang terjejas,” katanya.

Back to top button