Madani News

Anwar sambut baik penilaian IMF terhadap ekonomi Malaysia

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia yang disifatkan kekal berdaya tahan meskipun berdepan landskap dunia yang semakin mencabar.

Perdana Menteri berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan kestabilan ekonomi bukan sekadar diurus secara bertanggungjawab, malah dapat dirasai rakyat melalui peluang pekerjaan yang terjamin, adil serta keyakinan tinggi terhadap masa depan negara.

“Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemah dan pada masa sama mempercepatkan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 supaya pertumbuhan yang dibina kukuh, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Terdahulu, IMF memaklumkan Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi yang ketara meskipun berdepan ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar, disokong oleh penggunaan serta pelaburan domestik yang kukuh, pertumbuhan pekerjaan dan kitaran peningkatan sektor teknologi global.

Menurut institusi kewangan antarabangsa itu, prestasi positif ekonomi negara turut mencerminkan kekukuhan dasar ekonomi apabila pihak berkuasa mengekalkan pendekatan makroekonomi dan kewangan yang berhemat. 

Back to top button