Ambil tindakan tegas individu dera, pukul pelajar tahfiz – Zahid

Ambil tindakan tegas individu dera, pukul pelajar tahfiz – Zahid

PIHAK berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap individu yang didapati mendera dan mencederakan pelajar tahfiz, gesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau memandang serius kejadian itu dan mahukan tindakan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada bagi mencegah kejadian seperti berulang kembali.

Tegasnya, sebarang bentuk kekerasan, penderaan atau layanan yang mencabul maruah kanak-kanak adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya memandang serius dan melahirkan kekesalan yang mendalam terhadap insiden-insiden yang tular baru-baru ini melibatkan keganasan terhadap pelajar institusi pendidikan agama, termasuk kejadian di Sabah serta rakaman penderaan fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz.

“Perbuatan sedemikian bukan sahaja mencederakan mangsa, malah mencemar nama baik pendidikan Islam dan institusi tahfiz yang selama ini menjadi benteng pembentukan sahsiah ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular video seorang tenaga pengajar sebuah pusat tahfiz didakwa memukul pelajarnya menggunakan topi keledar.

Manakala dalam kejadian berasingan, seorang pelajar menggelupur kesakitan akibat dirotan bertalu-talu.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, insiden tersebut tidak mewakili keseluruhan ekosistem pendidikan tahfiz di negara ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempertahan institusi tahfiz secara keseluruhannya yang mana guru dan para asatizahnya telah melaksanakan amanah mendidik para pelajar dengan penuh dedikasi, hikmah dan tanggungjawab.

“Bagi memperkukuh perlindungan pelajar serta tadbir urus institusi tahfiz secara menyeluruh, kerajaan sedang mempergiat usaha ke arah pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 yang dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun hadapan.

“Dasar ini akan memberi tumpuan antaranya kepada penguatkuasaan pematuhan undang-undang; pemantapan kurikulum dan model Pendidikan Tahfiz Kebangsaan, pemerkasaan modal insan dan tadbir urus institusi, peluasan laluan pendidikan serta kebolehpasaran huffaz,” katanya.