Zahid ucap tahniah anak Orang Asli ‘mendunia’ di Australia

Zahid ucap tahniah anak Orang Asli ‘mendunia’ di Australia

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada tiga murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor atas kejayaan cemerlang meraih pingat emas pada Olimpiad Robot Antarabangsa Ke-27 (IRO 2025) yang berlangsung di Gold Coast, Australia baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kejayaan tiga murid tersebut yang menjuarai kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) menerusi ciptaan robot ‘rover’ merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja kepada sekolah dan komuniti setempat, malah kepada seluruh negara.

“Alhamdulillah, satu pencapaian yang membanggakan. Dari desa ke pentas dunia, kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak Malaysia, termasuk dari komuniti Orang Asli, memiliki bakat dan potensi besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa sekiranya diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa berkata, pencapaian berkenaan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda negara agar terus berani mencabar diri dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Beliau turut berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk melakar kecemerlangan pada masa hadapan serta mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak pencapaian gemilang anak-anak muda negara. Insya-Allah,” katanya.