Malaysian News

Hakim sabitkan Najib bersalah empat pertuduhan, guna kedudukan terima suapan 2.3 bilion 1MDB

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, membuat keputusan mensabitkan Najib, 72, atas tuduhan itu selepas mendapati pembelaan bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Najib didapati bersalah atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk suapan RM60,629,839.43 manakala untuk pertuduhan kedua, beliau didapati menggunakan statusnya bagi imbuhan RM90,099,927.28.

Bagi tuduhan ketiga, Najib didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapat suapan bagi dirinya sendiri berjumlah RM2,061,476,926 membabitkan usaha sama pelaburan antara 1MDB dan Aabar Investment (ADMIC) yang bertujuan membangunkan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.

Dalam pertuduhan terakhir, bekas Menteri Kewangan itu mengambil kesempatan dengan kedudukannya bagi memperoleh suapan dana 1MDB berjumlah RM44.5 juta membabitkan pembelian opsyen Aabar oleh syarikat tersebut.

Tuduhan berkenaan adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Sementara pembelaan bagi Najib diwakili peguam-peguam antaranya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.

Najib berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Najib membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Back to top button