BEKAS Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Hafizuddeain didakwa atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM145,000 antara 2024 hingga tahun lalu.
Pada prosiding hari ini, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
“Faham pertuduhan, tidak mengaku bersalah,” katanya.
Tertuduh didakwa menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000 yang dimasukkan dalam akaun bank miliknya di cawangan bank di Ampang Point antara 19 September 2024 dan 19 Mei 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Hafizuddeain menjadi PTD pertama didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan tertuduh dibenarkan jaminan sama seperti di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Pendakwaan turut memohon kes dipindahkan untuk dibicarakan secara bersama dengan empat pertuduhan di mahkamah itu.
Sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan pada 30 Mac depan.




