BEKAS Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas empat tuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan dan wang berjumlah lebih RM752,000 dan pecah amanah RM3 juta.
Bagaimanapun, Mohd Nizam, 60, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
“Faham, tidak mengaku bersalah Yang Arif,” kata Mohd Nizam yang berdiri sambil bertongkat di dalam kandang tertuduh, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) untuk suapan masing-masing berjumlah RM267,481.90 dan RM285,000.
Suapan itu adalah sebagai balasan Mohd Nizam melantik lima syarikat untuk pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, tuala mandi dan beg galas sempena hari raya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH), di sini, pada 24 Jun 2024 lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, bekas PAT itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta TKAT berjumlah RM3 juta dengan membuat pelaburan tambahan di dalam sebuah syarikat, tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada 4 Oktober 2024 lalu.
Jika disabitkan bersalah, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.
Bagi pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 dengan tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat yang diketahui mungkin ada kena-mengena dalam urusan yang akan dijalankan oleh tertuduh sebagai PAT di Wisma Transit Kuala Lumpur, KEMENTAH, di sini, pada Mac 2025.
Jika disabitkan bersalah, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.




