
Kemenangan BN di Kinabatangan, Lamag bukti sokongan rakyat – Anwar
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata keputusan itu mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang ditunjukkan di peringkat akar umbi.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang telah dipertunjukkan di peringkat akar umbi,” katanya.
Anwar berkata kemenangan itu perlu ditanggapi sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan berintegriti serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan inklusif.
“Kemenangan ini wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat diperkukuh serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag, Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob.
“Tahniah kepada YB Parlimen Kinabatangan dan YB DUN Lamag yang baharu,” katanya sambil mendoakan agar legasi kepemimpinan Allahyarham Bung Moktar Radin terus dipelihara.


