KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag merupakan bukti keyakinan rakyat terhadap kesinambungan kepemimpinan serta kestabilan di kawasan berkenaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat diberikan rakyat merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab bagi meneruskan legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sepanjang hayatnya menjadikan Kinabatangan dan Lamag sebagai keutamaan perjuangan.
“Syukur Alhamdulillah, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag atas mandat yang diberikan dalam pilihan raya kecil ini.
“Kemenangan Mohd. Kurniawan Naim Moktar di Parlimen Kinabatangan dan Mohd. Ismail Ayob (MIHA) di DUN Lamag merupakan amanah besar untuk meneruskan legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan itu mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan yang stabil, berintegriti dan bertanggungjawab.
Katanya, kejayaan berkenaan juga melambangkan kesatuan kepimpinan, kematangan kerjasama politik serta keyakinan rakyat terhadap kestabilan dan hala tuju pembangunan di Sabah.
“Apabila pemimpin bersatu, rakyat akan memberikan kepercayaan. Amanah yang diberikan kepada Mohd. Kurniawan Naim Moktar dan Mohd. Ismail Ayob perlu digalas dengan penuh tanggungjawab dan iltizam yang tinggi demi memastikan Kinabatangan dan Lamag terus dibela, diperkasa serta dimajukan secara berterusan,” katanya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, kemenangan calon BN itu membuktikan keberkesanan gerak kerja jentera parti yang digerakkan secara menyeluruh dan bersepadu.
Katanya, komitmen jentera BN yang bekerja siang dan malam serta kepimpinan parti di bawah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan pada PRK berkenaan.
“Tahniah kepada Mohd. Kurniawan Naim Moktar yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan Mohd. Ismail Ayob sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag.
“Selamat berkhidmat dan memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab serta meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin,” katanya.
Keputusan PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd. Kurniawan berjaya mempertahankan kerusi yang disandang Allahyarham bapanya sejak 1999 selepas meraih majoriti 14,214 undi, menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Bagi PRK DUN Lamag, Mohd. Ismail mengekalkan kerusi tersebut untuk BN apabila memperoleh majoriti 5,681 undi, mengatasi pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar, 66, pada 5 Disember tahun lalu



