Malaysian News

Selangor batal projek ladang ternakan babi di Bukit Tagar

KERAJAAN Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara sebarang cadangan melibatkan pembangunan berkaitan ladang penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata,bantahan keras penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh menjadi faktor keputusan itu diambil dan isu itu sebenarnya telah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini termasuk arahan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif berikutan bantahan penduduk berhampiran kawasan terbabit.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah dimaklumkan mengenai perkara ini pada Rabu lalu.

“Kita sedar terdapat bantahan keras, maka saya arahkan supaya alternatif kawasan lain dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Komoleks Belia Dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun, Amirudin menegaskan, kerajaan negeri tidak akan mendedahkan sebarang lokasi atau cadangan alternatif buat masa ini kerana keputusan muktamad belum dibuat.

“Isu ini perlu ditangani dengan lebih berhemah termasuk libat urus bersama pihak berkepentingan, penilaian impak sosial (SIA) serta proses yang lebih teratur,” katanya.

Beliau mengakui pada peringkat awal, terdapat kekeliruan dan salah faham sehingga isu itu dilihat seolah-olah diputuskan secara tergesa-gesa.

“Isu ini sudah melampaui daripada realiti sebenar dan sebab itu kita ambil keputusan untuk tangguh serta batalkan dahulu sementara kita beri penjelasan yang jelas kepada semua pihak,” katanya.

Dalam masa sama, Amirudin memberi jaminan kerajaan negeri akan terus melindungi kepentingan semua pihak termasuk pengusaha terlibat, dengan sebarang keputusan dibuat secara adil dan saksama.

“Perbincangan dengan pengusaha akan tetap diteruskan. Kita mahu penyelesaian yang adil, munasabah dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

Back to top button