
PAS tak calonkan Hadi sebagai Pengerusi PN
TEKA-teki mengenai pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mula terjawab apabila PAS mengesahkan tidak akan mencalonkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi jawatan tersebut.
Keputusan itu dijangka bakal membawa perubahan besar dalam struktur kepimpinan blok pembangkang mesyuarat khas PN yang dijadualkan berlangsung Khamis ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah pun memuktamadkan nama calon daripada parti itu.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Abdul Hadi sendiri yang akan mengumumkan nama tersebut apabila tiba masanya.
“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mengisytiharkan nama tersebut. Hanya Presiden PAS sahaja boleh mengumumkan… sama ada dalam tempoh terdekat atau paling lewat sewaktu mesyuarat Khamis ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, semalam.
Ketiadaan nama Abdul Hadi dalam senarai pencalonan menguatkan lagi spekulasi bahawa Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, adalah calon pilihan utama.
Mesyuarat luar biasa pada Khamis ini bakal menjadi detik kritikal buat PN untuk menentukan sama ada mereka akan menerima peletakan jawatan Muhyiddin secara rasmi atau sebaliknya.
Jika peletakan jawatan itu diterima, proses pencalonan dan pelantikan pengerusi baharu akan dilaksanakan serta-merta bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu sejak 1 Januari lalu.


