
Pelabuhan Kuantan jadi pelabuhan mesra halal pertama- Dijangka jana RM15 Bilion
MALAYSIA mengorak langkah drastik dalam memperkukuh kedudukan sebagai hab halal global melalui pembangunan Pelabuhan Mesra Halal pertama negara yang bakal beroperasi di Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Inisiatif strategik ini dijangka memberikan impak ekonomi yang besar dengan nilai penjanaan mencecah RM15 bilion serta pembukaan lebih 13,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan projek ini sebagai pemangkin utama untuk melonjakkan daya saing eksport negara.
Antara manfaat utama pembangunan ini termasuk, menjamin kebolehkesanan produk halal dari sumber hingga ke destinasi.
Selain memudahkan urusan eksport dan import produk halal melalui infrastruktur yang khusus.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan memperkukuh integriti halal, meningkatkan kecekapan rantaian logistik serta melonjakkan daya saing negara di peringkat antarabangsa,” ujar beliau dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Bil. 2/2025 hari ini.
Selain fokus kepada pelabuhan, Mesyuarat MPIH turut memperincikan langkah konkrit bagi memperkukuh lima aspek utama industri halal negara.
Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju pasaran halal dunia yang semakin berkembang pesat.


