
Anwar beri kata dua, seminggu untuk berubah atau turun jawatan
PIMPINAN tertinggi agensi penguat kuasa diberi amaran keras apabila diberi tempoh seminggu untuk menyatakan kesediaan memikul amanah dan melakukan pembaharuan atau bersedia diturunkan ke jawatan lebih rendah, susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.
Amaran keras itu dilaung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan, meskipun kerajaan mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pemerintahan sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran, ruang untuk melakukan penambahbaikan masih luas dan tidak boleh dipandang ringan.
Jelasnya, kejayaan yang dicapai wajar diraikan, namun pada masa sama kerajaan perlu bersikap insaf dengan menilai secara jujur kekuatan dan kelemahan yang masih wujud, khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa.
“Tetapi kira-kira tiga tahun (kemudi kerajaan), saya merasakan ada ruang yang mesti (diperbaiki), kelemahan tidak boleh dihargai baik dari segi pencerobohan atau penyeludupan atau kegiatan-kegiatan gelap yang masih berlaku dan ada kalanya dengan ruang dan keizinan keadaan.
“Saya nak berikan kata-kata yang keras dan singkat, sudah sampai ketikanya di mana kita harus beri jawapan, kalau sudah diamanahkan dan rasanya kurang mampu menerima cabaran besar dan ujian berat dan pelawaan (penyelewengan) terlalu menarik, saya syorkan untuk dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua jabatan, kepada saya sendiri atau menteri.
“Sila bagi tahu kita belum bersedia untuk mengambil (amanah sebagai pemimpin penguat kuasa). Tempoh satu minggu. Kenapa saya pilih untuk menyatakan ini? Kerana saya sampai ke tahap hilang kesabaran dan merasakan masih ada kelemahan dan ruang kelompangan yang wajib diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat YAB Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Anwar berkata, sudah sampai masanya pimpinan tertinggi penguat kuasa memberikan jawapan sama ada mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab besar yang diamanahkan atau mengakui ketidakmampuan menghadapi cabaran dan ujian, termasuk tarikan penyelewengan.
“Yang pegang jawatan (tinggi), yang (pangkat) bintang-bintang gemerlapan itu bukan calang-calang orang, bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama tapi bintang-bintang kegemerlapan ini harus juga mendorong kita dan memaksa kita melakukan sesuatu yang benar, jangan kita ambil sikap sambil lewa,” katanya.
Tegasnya, tempoh seminggu diberikan kerana tahap kesabarannya sudah sampai ke kemuncak, selain merasakan negara yang mempunyai potensi tinggi ini tidak boleh terus terdedah kepada kebocoran, penyeludupan dan kelemahan integriti.
“Rakyat mengharap dan dahagakan pembaharuan. Kalau sanggup pikul tanggungjawab, lakukan sebaik mungkin. Jika memilih untuk berundur ke jawatan lebih rendah, saya akan hormat,” katanya.


