Gov News

Agensi kerajaan digerakan tangani banjir di Sabah – Zahid

KERAJAAN menggerakkan seluruh agensi penguatkuasaan bagi memastikan bantuan dan operasi menyelamat mangsa banjir di Sabah berjalan lancar dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah menjamin keselamatan rakyat serta memulihkan segera kawasan yang terjejas akibat bencana tersebut.

Menurut beliau, tindakan pantas dan tersusun amat diperlukan bagi memastikan kebajikan mangsa tidak terabai, terutamanya ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan.

Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan penduduk di Sabah agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya mengingatkan semua yang berada di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya di Facebook.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid turut mengajak seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan saudara-saudara di Sabah agar diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.

Beliau berharap agar kesulitan yang dihadapi para mangsa segera diangkat dan keadaan kembali pulih seperti sediakala demi kesejahteraan semua pihak yang terlibat.

Back to top button