
Muhyiddin turun pangkat, Pas ambil alih teraju PN
PAS hari ini secara rasmi sah mengambil alih teraju kepimpinan Perikatan Nasional (PN) apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat khas yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Mesyuarat hari ini juga menerima peletakan jawatan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
“Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.
“Mesyuarat seterusnya dengan sebulat suara melantik Datuk Seri Ahmad Samsuri bin Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN itu telah diadakan jam 3.00 petang di Pejabat Agung PAS.
Mesyuarat dihadiri oleh semua ahli-ahli MT PN, termasuk empat presiden parti gabungan Muhyiddin; Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden MIPP, P.Punithan
Takiyuddin berkata, agenda mesyuarat yang utama adalah untuk meluluskan peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026 dan melantik Pengerusi PN yang baharu.
“Perkara-perkara lain akan dibawa untuk dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang,” katanya.


