
BN tak masuk campur kemelut dalaman Bersatu
BARISAN Nasional (BN) kekal dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain, termasuk isu pergolakan yang sedang melanda parti Bersatu.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata, pendirian itu diambil bagi mengelakkan sebarang spekulasi atau tanggapan bahawa gabungan tersebut cuba menjadi ‘penyelamat’ dalam kemelut yang berlaku.
Menurutnya, BN berpandangan setiap parti wajar diberi ruang untuk menyelesaikan masalah dalaman mengikut acuan dan perancangan kepimpinan serta ahlinya sendiri.
“Di peringkat BN khususnya, kita tidak mahu dilihat masuk campur atau terlibat dalam apa jua yang sedang berlaku dalam parti berkenaan.
“Tidak wajar ketika mereka berada dalam keadaan berantakan sesama sendiri, kita tampil untuk melakukan langkah menyelamat. Berikan ruang kepada Bersatu untuk menyelesaikan isu mereka mengikut perancangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Santuni Pesakit Hospital Seri Manjung sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di Hospital Seri Manjung, pada Sabtu.


