
Pijak al-Quran: Tindakan biadap – Fahmi
KERAJAAN mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun ryandaselva.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbuatan tersebut merupakan tindakan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pada masa sama, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegasnya, sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali.
Sebelum ini kecoh di media sosial apabila seorang pengguna Thread didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.
Individu tersebut yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya memohon maaf kerana memuat naik gambar tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penuntut terbabit sudah ditahan awal pagi ini.
“Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut,” katanya.

