Madani News

Golongan terpinggir harus terus disantuni – Anwar


SEGENAP lapisan masyarakat dan jentera kerajaan diseru memanfaatkan baki bulan Ramadan dengan menyantuni golongan yang masih terpinggir.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelarasan gaji, namun masih terdapat kelompok kecil masyarakat yang tidak mendapat manfaat sepenuhnya bantuan itu.


Menurutnya, Ramadan kali ini juga seharusnya dijadikan peluang terbaik untuk meringankan beban rakyat dengan mengenal pasti individu, warga emas atau pesakit di setiap pelosok kampung yang memerlukan bantuan segera.

“Kita jarang bicara soal mereka dan kita di semua peringkat agak sibuk dalam urusan masing-masing.


“Jadi, saya nak ambil kesempatan ini menyeru semua jawatankuasa masjid, surau, guru besar, pengetua, ketua kampung dan pemimpin belia untuk tingkatkan amal kebajikan kita.


“Jadikan Ramadan ini satu kesempatan untuk kita mengangkat martabat semua lapisan masyarakat dengan meringankan beban mereka,” katanya kepada media menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Kajang, hari ini.


Anwar turut mengharapkan kerjasama padu daripada jentera kerajaan, sektor swasta dan rakyat bagi memastikan matlamat berkenaan dapat dicapai.


“Cita-cita saya kalau boleh, ini Ramadan dan Aidilfitri pertama yang benar-benar boleh melegakan rakyat pada semua peringkat,” katanya.

Back to top button