
Komplot jatuhkan kerajaan: Serah siasatan sepenuhnya kepada polis – Fahmi
KERAJAAN menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dakwaan wujudnya komplot bagi menjatuhkan pentadbiran sedia ada, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai serius dan menegaskan ia perlu ditangani oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
“Ini adalah satu perkara yang sangat serius dan sudah pasti kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan penuh,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan rancangan untuk menggugat kerajaan serta menjejaskan kestabilan negara.
Beliau berkata, dakwaan itu membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan dan sebuah agensi media antarabangsa, tanpa menamakan mana-mana pihak.
Sementara itu, portal berita media tempatan melaporkan, pihak polis telah mengunjungi pejabat Bloomberg di Kuala Lumpur bagi mengenal pasti wartawan di sebalik laporan penyiasatan berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan bahawa Jemaah Menteri tidak dimaklumkan mengenai lawatan berkenaan.
“Perkara ini boleh dirujuk kepada Ketua Polis Negara. Jemaah Menteri tidak dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya ringkas.
Pada 10 Februari lalu, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd berdasarkan pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pegangan saham itu didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu dan berdasarkan harga penutup saham syarikat itu pada Isnin, pegangan berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000.
Azam sebelum ini menegaskan bahawa pemilikan sahamnya dalam syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut peraturan.
Beliau dilaporkan juga berkata, bahawa tiada apa yang perlu disembunyikan berhubung pegangan saham bernilai RM800,000 itu dan transaksi berkenaan telah diisytiharkan dengan sewajarnya.


