Madani News

Dividen 6.15 bukti kecekapan pengurusan pelaburan KWSP


PENGUMUMAN dividen sebanyak 6.15 peratus bagi simpanan konvensional dan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tahun 2025 mencerminkan kecekapan pengurusan pelaburan dana simpanan persaraan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu juga menunjukkan keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.


“Pencapaian ini, meski dalam keadaan pasaran global yang mencabar, mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan KWSP serta keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam laman Facebook.


Anwar berkata, Kerajaan Madani menyambut baik prestasi ini dan akan terus melaksanakan dasar yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat agar setiap warga mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah.


KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi 2025 untuk akaun simpanan konvensional dan syariah, dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion.


Bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus daripada RM75.5 bilion pada 2024.


Keahliannya juga meningkat kepada 18.1 juta pada 2025 disokong oleh penyertaan tenaga kerja yang lebih meluas termasuk pekerja bukan warganegara Malaysia.


Bilangan ahli aktif meningkat kepada 10.6 juta, sekali gus menambah baik nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kepada 59:41.

Back to top button