Rumah Najib kekal zon perumahan, bukan penjara

Rumah Najib kekal zon perumahan, bukan penjara

KEDIAMAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur masih dikategorikan sebagai zon perumahan berdasarkan perancangan guna tanah sedia ada, meskipun kawasan itu sudah diisytiharkan sebagai penjara bagi membolehkan pelaksanaan perintah tahanan rumah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sebarang perubahan status zon tanah berkenaan perlu diteliti terlebih dahulu berikutan ia membabitkan perkembangan baharu yang tidak terkandung dalam perancangan asal.

Beliau menjelaskan, berdasarkan kategori perancangan guna tanah ketika ini, kawasan kediaman Najib masih berada dalam zon perumahan dan bukannya zon penjara.

“Jadi yang ditanyakan oleh Yang Berhormat itu memang kalau kita ikut, buat masa ini tiadalah (penjara) sebab itu adalah zon perumahan.

“Ini adalah perkembangan baharu, jadi sama ada ia akan diubah atau bagaimana, kita kena lihatlah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Aiman Athirah menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada kediaman Najib yang sebelum ini dikategorikan sebagai kawasan perumahan sudah ditukar kepada kategori lain di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Isu itu timbul susulan pengisytiharan bangunan di No 11, Jalan Langgak Duta bersama kawasan sekitarnya berkeluasan 4,558.975 meter persegi sebagai penjara menerusi Warta Kerajaan Persekutuan.

Pengisytiharan berkenaan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengikut Akta Penjara 1995 bagi membolehkan kediaman berkenaan digunakan sebagai lokasi pelaksanaan tahanan rumah Najib.

Perkembangan itu menyusul selepas keputusan mahkamah berhubung pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap Najib, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai status dan penggunaan kediaman berkenaan dari sudut perundangan serta perancangan guna tanah.