Pembangunan Bagan Datuk dijamin secara tersusun – Zahid
DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, agenda pembangunan tidak boleh sekadar terhenti pada peringkat kelulusan atau pengumuman semata-mata.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu mahu ia dilaksanakan secara tersusun dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Justeru, atas komitmen tersebut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Parlimen Bagan Datuk bagi memastikan setiap projek dan inisiatif di kawasan itu dipantau secara berterusan serta berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 35 projek telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1, RMK-13 melibatkan pelbagai komponen pembangunan termasuk infrastruktur pentadbiran, pendidikan, jalan perhubungan, kawalan hakisan pantai, pembangunan usahawan, pertanian berteknologi serta kemudahan komuniti,” katanya pada Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut memaklumkan bahawa beberapa projek baharu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan dan perancangan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, projek di bawah KKDW seperti Jalan Perhubungan Desa (JPD), Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Program Ameniti Sosial (PAMS) terus menjadi fokus kerana inilah tunjang utama dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
“Saya turut menekankan kepentingan penyelarasan yang lebih berkesan antara kementerian, agensi, GLC serta semua pihak berkepentingan supaya tiada kelewatan yang boleh menjejaskan pelaksanaan agenda pembangunan.
“Sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan setiap usaha dipantau dengan rapi dan dilaksanakan sebaiknya.

“Insya-Allah, kita akan terus bekerja demi kemajuan Bagan Datuk agar setiap agenda pembangunan selari dengan keperluan sebenar masyarakat,” katanya.