
SPRM tahan polis trafik minta habuan RM30,000
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang anggota polis trafik di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah, pada Selasa.
Menurut sumber, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu disyaki menerima rasuah kira-kira RM30,000 daripada beberapa individu dan pemilik lori sebagai balasan melindungi mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dan 2025 dengan menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumber itu menjelaskan, suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh untuk mendapatkan perintah reman, pada Selasa.
“Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar membenarkan perintah reman ke atas suspek selama empat hari sehingga 6 Mac ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


