
Tengku Zafrul kini Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri
BEKAS Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri berkuat kuasa hari ini.
Menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), pelantikan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi tempoh dua tahun.
Jawatan berkenaan diwujudkan bagi mengisi kekosongan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.
“Perdana Menteri menzahirkan harapan supaya beliau dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, pada 3 Disember 2025, Tengku Zafrul dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk tempoh dua tahun, sekali gus menerajui agensi promosi pelaburan utama negara.
Pelantikan tersebut bertujuan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran beliau dalam merangsang agenda pelaburan negara serta memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global menerusi pendekatan dasar industri yang lebih bersepadu.
Sepanjang penglibatan dalam pentadbiran kerajaan, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara selama enam tahun, iaitu tempoh maksimum yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mula mengangkat sumpah sebagai Senator pada 10 Mac 2020 dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Penggal keduanya bermula pada 3 Disember 2022 sebelum menamatkan perkhidmatan rasmi di Dewan Negara pada 2 Disember 2025.


