Malaysian News

RUU Had Tempoh PM akan dibentang semula di Dewan Rakyat

KABINET bersetuju untuk membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal ataupun 10 tahun pada sidang Parlimen, Jun depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri berharap agar semua Ahli Parlimen blok kerajaan dapat memberikan komitmen dan sokongan padu bagi memastikan pindaan Perlembagaan yang bersejarah itu dapat diluluskan.

“Jemaah Menteri berharap semua Ahli Parlimen kerajaan hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan ini. Ia adalah langkah penting bagi memperkukuh institusi demokrasi negara,” katanya pada sidang media pasca Kabinet di Putrajaya, pada Rabu.

Menyentuh mengenai kegagalan RUU tersebut mendapat sokongan mencukupi sebelum ini, Fahmi mendedahkan wujudnya kekeliruan yang ‘pelik’ dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau menjelaskan, terdapat maklum balas daripada pihak pembangkang yang mendakwa mereka tersalah tafsir tujuan undian tersebut dijalankan.

“Ada dalam kalangan mereka memaklumkan kepada salah seorang menteri bahawa mereka menyangka undian tersebut adalah untuk memberi tempoh perkhidmatan selama 10 tahun secara automatik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pihak kami sendiri tidak pasti bagaimana tafsiran sedemikian boleh timbul, sedangkan matlamat RUU ini jelas untuk mengehadkan tempoh jawatan, bukan menambahnya,” katanya..

Isnin lalu, usaha kerajaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal ataupun 10 tahun gagal mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Proses pengundian yang berlangsung di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan rang undang-undang (RUU) itu hanya mendapat sokongan 146 ahli Parlimen dan gagal untuk bacaan kali kedua.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, RUU itu memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan Perlembagaan itu diluluskan.

Proses undian yang dijalankan melalui belah bahagian menyaksikan 44 ahli Parlimen yang hadir memilih untuk tidak mengundi, manakala 32 ahli Parlimen lagi tidak hadir.

Back to top button