Gov News

Keselamatan rakyat Malaysia di Asia Barat keutamaan kerajaan

KERAJAAN memberi penegasan bahawa kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia yang berada di negara terlibat dalam konflik di Asia Barat akan terus diberi perhatian utama.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Luar melalui Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung langkah susulan yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Wisma Putra memberi beberapa maklumat dan maklum balas terkini mengenai situasi khusus berkait rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Asia Barat khusus di sekitar kawasan Teluk.

“Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan susulan mengenai beberapa tindakan yang akan diambil,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, pada Rabu.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika menjawab soalan lisan di Dewan Negara hari ini memaklumkan keadaan di Qatar dan negara-negara Teluk masih terkawal walaupun suasana keselamatan di Asia Barat kini tidak menentu.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan belum perlu mengaktifkan pelan pemindahan bagi membawa keluar rakyat Malaysia dari negara terlibat.

“Kita sedang meneliti, memantau keadaan di sana dan situasi sekarang ini belum lagi memungkinkan kita untuk mengaktifkan pelan evakuasi,” katanya seperti dilaporkan.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Azahar Hassan mengenai tindakan kerajaan untuk memindahkan rakyat Malaysia yang didakwa ‘terperangkap’ di Qatar dan Asia Barat susulan ketegangan di rantau tersebut.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan sentiasa memastikan aspek keselamatan rakyat Malaysia di luar negara dipantau rapi dan kekal menjadi keutamaan.

Back to top button