Malaysian News

Penerbangan pulang rakyat Malaysia dari Dubai, Emiriah ditingkatkan kekerapan

KERAJAAN sedang melaksana usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai dan Emiriah Utara dengan meningkatkan kekerapan penerbangan pulang ke tanah air.

Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai menerusi kenyataan memaklumkan, rakyat Malaysia yang masih terkandas dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengetahui status terkini.

Katanya, walaupun operasi komersial penuh oleh syarikat penerbangan belum kembali sepenuhnya, beberapa penerbangan terhad mula beroperasi dengan keutamaan kepada penumpang terkandas.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang memantau perkembangan situasi semasa di Dubai dan Emirah Utara berikutan ketegangan serantau yang sedang berlaku.

“Pihak kami sedang menyelaras dengan syarikat penerbangan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Malaysia. Semua penumpang terkandas dinasihati untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan status terkini,” katanya, pada Khamis.

Dalam pada itu, pihak konsulat turut memaklumkan, berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan, keadaan keselamatan di Dubai adalah stabil dengan aktiviti harian berjalan seperti biasa.

Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai turut memberitahu, pihaknya mengambil maklum laporan beberapa rakyat Malaysia susulan dikenakan bayaran kerana lanjutan penginapan di sana.

“Walaupun sudah diumumkan kos penginapan hotel bagi penumpang terkandas akan ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan, pihak hotel masih mengenakan bayaran bagi lanjutan penginapan.

“Sehubungan itu, rakyat Malaysia di Dubai dan Emiriah Utara dinasihatkan supaya membuat pengesahan terus dengan pihak hotel serta syarikat penerbangan masing-masing mengenai sebarang urusan pembayaran,” katanya.

Tambahnya, semua rakyat Malaysia yang masih berada di Dubai dan Emiriah Utara turut dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mengikuti pengumuman rasmi pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan konsulat.

“Pada masa sama, buat perancangan sewajarnya jika perlu melanjutkan tempoh penginapan. Ini termasuk mempertimbangkan pilihan penginapan alternatif yang lebih berpatutan, sekiranya perlu.

“Bagi sebarang bantuan konsular atau kecemasan, rakyat Malaysia boleh berhubung terus melalui talian +97143985843,talian kecemasan +971507379196, atau e-mel ke dxb.cons@kln.gov.my atau mwdubai@kln.gov.my,” katanya.

Back to top button