
Pelakon, suami direman 3 hari kes tipu tanah
SEORANG pelakon wanita dan suaminya direman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia membabitkan kerugian RM1.5 juta.
Perintah reman itu dikeluarkan oelh Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah.
Terdahulu, pelakon drama ‘Nur’ itu dan suaminya dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini dengan memakai baju lokap bewarna unggu.
Difahamkan, pasangan itu ditahan di sebuah madrasah tahfiz Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, suami isteri itu ditahan susulan satu laporan polis berkait kes penipuan yang dibuat di daerah itu.
“Pasangan berusia 40-an dan 30-an ditahan di tempat persembunyian mereka di sebuah premis di Hulu Langat, Selangor.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis juga meminta ruang supaya siasatan dilakukan dengan telus dan orang awam diminta tidak membuat spekulasi,’ katanya.
Mengulas mengenai kes berkenaan, Azahar berkata, mangsa seorang lelaki berumur 56 tahun yang juga seorang ahli perniagaan yang sebelum ini menjalankan perniagaan pembangunan hartanah.
“Mangsa disyaki ditipu rakannya dalam urusan untuk mendapatkan tanah kurniaan kerajaan negeri Selangor.
“Pengadu menyatakan pada 21 September 2023 ditawarkan oleh seorang lelaki untuk mendapatkan beberapa lot tanah di negeri Selangor yang terletak di mukim Cheras yang mana sebelum ini dijanjikan akan mendapat tanah berstatus kurniaan kerajaan negeri Selangor.
“Pengadu mula berurusan dengan suspek dan membuat beberapa kali transaksi,” katanya.
Beliau berkata, suspek memberikan akaun bank bapanya serta akaun bank isterinya bagi menerima bayaran transaksi untuk proses mendapatkan lot tanah yang dijanjikan sebanyak RM1.5 juta.


