Madani News

Kerajaan sasar 70 peratus lepasan SPM sertai TVET menjelang akhir RMK13

KERAJAAN menetapkan sasaran baharu iaitu 70 peratus penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat Disember 2025, kadar penyertaan dalam bidang TVET telah mencapai 53.9 peratus, sekali gus menunjukkan perkembangan positif ke arah sasaran tersebut.

Menurutnya, sasaran itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikannya, pada Khamis.

“Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bil.1/2026 yang saya pengerusikan hari ini telah menetapkan sasaran baharu iaitu 70% penyertaan lepasan SPM dalam bidang TVET menjelang akhir RMK13. Setakat Disember 2025, kadar penyertaan telah mencapai 53.9%, menunjukkan perkembangan positif ke arah sasaran tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, beberapa inisiatif baharu turut dipersetujui termasuk program Digital Freelancing TVET bagi membuka peluang pendapatan melalui ekonomi digital global, program TVETPreneurs untuk melahirkan usahawan muda TVET serta pengukuhan latihan melalui PERHEBAT bagi membantu anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bakal bersara memasuki sektor pekerjaan baharu.

“TVET juga akan diperluaskan ke sektor strategik seperti agromakanan melalui TVET Pertanian, di samping membuka laluan kepada pelajar tahfiz untuk memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 yang setara diploma, sekali gus memperluas peluang kerjaya dalam bidang kemahiran profesional,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Tambah Ahmad Zahid, mesyuarat tersebut turut menetapkan Sambutan Hari TVET Negara 2026 akan berlangsung pada 5 hingga 7 Jun 2026 di Dataran Putrajaya sebagai platform menghimpunkan institusi TVET, pemain industri serta komuniti bagi memperluas peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang kemahiran.

“Insya-Allah, kita mahu TVET terus menjadi pilihan masa depan dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berdaya saing dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Back to top button