Madani News

Muhyiddin gila nak jadi Perdana Menteri lagi – Wan Saiful

EPISOD kemelut drama yang terpalit dengan Bersatu tetap diteruskan meskipun kini umat Islam sedang berada di bulan Ramadan.

Walaupun beberapa pemimpin yang didakwa menjadi duri dalam daging telah dipecat, namun gelora yang melanda parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak nampak menuju ketenangan.

Malah tuduh menuduh, serang menyerang antara bekas ahli Bersatu yang dipecat dengan Muhyiddin masih lagi kedengaran seperti tiada kesudahannya.

Terbaharu, bekas ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Presiden Bersatu itu adalah penghalang kepada penyatuan orang Melayu di negara ini.

Beliau menjawab dakwaan Muhyiddin kononnya bekas timbalan presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin ada bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bagi membincangkan “Bangkok move”.

Jelasnya, perbincangan mengenai penyatuaan Melayu tidak sepatutnya terhad kepada kelompok tertentu.

“Jika ada yang nak tahu mengenai apa yang didakwa sebagai ‘Bangkok move’, saya tak ada maklumat dan saya tak tahu.

“Tetapi pada pandangan saya, kita perlu bertemu sesiapa sahaja yang sudi untuk membincangkan mengenai penyatuan politik Melayu.

“Secara umumnya saya merasakan pendekatan kita haruslah mengusahakan perpaduan parti besar Melayu di mana-mana peringkat dan kita perlu bertemu semua pihak yang bersesuaian.

“Tetapi yang menjadi penghalang sebelum ini adalah Tan Sri Muhyiddin kerana dia bersikap seolah-olah tidak berminat terhadap permuafakatan dengan parti-parti besar di Malaysia. Malahan, hubungan baik dengan PAS pun dia biar jadi rosak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, nada marah Muhyiddin terhadap pertemuan itu membuktikan beliau sengaja menolak penyatuan Melayu.

“Dan nampaknya hari ini obsesi Muhyiddin ialah jawatan. Dia marah apabila ada orang tuduh Hamzah nak diletak sebagai timbalan perdana menteri. Kalau betul dia ada maklumat, buktikanlah.

“Yang lebih menarik, kita semua tahu mengenai usaha untuk mencalonkan Muhyiddin kembali sebagai perdana menteri. Kalau jawatan itu untuk dia, hukumnya boleh. Tetapi kalau jawatan itu untuk orang lain, salah pula?,”katanya.

Kelmarin, dalam satu sidang media Muhyiddin mendakwa, Hamzah individu yang bertanggungjawab mengadakan pertemuan secara senyap dengan Presiden UMNO bagi tujuan rundingan tanpa pengetahuan serta kebenaran parti.

Menurut beliau, terdapat banyak kesalahan lain yang dilakukan sehingga Lembaga Disiplin parti terpaksa mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan masalah itu daripada terus berlaku.

Back to top button