Madani News

PM dijangka umum berita baik untuk rakyat

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bakal mengumumkan beberapa lagi ‘berita baik’ untuk rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan pentadbiran masa kini.

“Ia selaras dengan tekad untuk membina sebuah negara yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan.

“Insya-Allah, Perdana Menteri akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat menjelang sambutan Aidilfitri,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan digerakkan dengan hasrat memastikan rakyat dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan bermakna.

“Sebagai imbasan, antara pengumuman utama Perdana Menteri termasuklah pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula Selasa, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 yang melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran, selain imam, bilal, guru KAFA dan sebagainya.

“Pagi tadi juga kita mendengar bahawa peluasan siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara akan dilakukan, selain peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa,” katanya.

PMO turut berharap segala bantuan, ikhtiar serta langkah yang diumumkan itu dapat memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

Back to top button