Madani News

Krisis Asia Barat: Malaysia, Indonesia senada diplomasi jalan penyelasaian

MALAYSIA dan Indonesia bersetuju memperkukuh usaha diplomasi bagi meredakan konflik di Asia Barat, selain melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sempena lawatan khas beliau ke Jakarta, semalam.

Menurut beliau, kedua-dua negara turut bersetuju untuk bekerjasama dalam melindungi keselamatan orang awam serta menggalakkan usaha dialog bagi mencapai penyelesaian konflik secara damai.

Anwar berkata, kestabilan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik, termasuk Selat Hormuz, perlu dipastikan tidak terjejas.

“Saya turut maklumkan interaksi dengan rakan-rakan pimpinan antarabangsa sebagai usaha menyatakan solidariti, menyelaras pandangan selain meneliti dampak global, khususnya dalam aspek tenaga dan keselamatan serantau.

“Malaysia kekal dengan pendirian tegas, menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak kembali kepada jalan damai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna itu turut membuka ruang perbincangan konstruktif antara kedua-dua pemimpin bagi mencari titik persamaan dalam mendepani konflik di Asia Barat yang kini memberi tekanan terhadap keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi global.

“Dalam ketidaktentuan global yang kian meruncing, Malaysia dan Indonesia menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip bagi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Back to top button