Lebih ramai mohon sertai ‘Rumah Bangsa’ termasuk dari blok pembangkang- Zahid

Lebih ramai mohon sertai ‘Rumah Bangsa’ termasuk dari blok pembangkang- Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan lebih ramai nama besar dijangka akan menyertai kembali inisiatif ‘Rumah Bangsa’ UMNO termasuk dari blok pembangkang.

Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa tokoh berkenaan yang menyatakan hasrat tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mendedahkan identiti individu-individu tersebut buat masa ini bagi menghormati privasi dan maruah mereka.

“Saya menjangkakan lebih ramai lagi nama-nama besar yang akan menyertainya. Mereka sudah bertemu dengan saya secara tidak rasmi.

“Ramai yang jumpa, tapi untuk jaga air muka, saya tak perlu sebutkan namanya di sini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa UMNO sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin kembali memperkasakan parti tanpa mengenakan sebarang syarat ketat.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian RissMart Grocer di Sungai Buloh hari ini.

Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Pengerusi RISDA, Mandzri Nasib.

Mengulas mengenai mekanisme kemasukan semula tersebut, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa urusan akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kita sudah mempermudahkan permohonan ini dengan hanya menulis surat untuk menyatakan hasrat kemasukan dan terus sertai. Kita sudah membuat keputusan bahawa permohonan ini tidak perlu dirujuk oleh jawatankuasa (disiplin),” jelasnya.