SURUHAJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berjaya membongkar skandal penyelewengan dana zakat mencecah RM230 juta susulan penahanan tiga individu, termasuk seorang Timbalan Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam operasi khas di sekitar Lembah Klang itu, SPRM turut menyita aset luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dipercayai hasil daripada perbuatan selewat tersebut.
Tindakan tegas SPRM menyaksikan penyitaan pelbagai harta disita melibatkan 18 buah kenderaan mewah jenama antara Porsche, Mercedes, Range Rover, Lexus serta hartanah bernilai kira-kira RM11 juta.
Turut dirampas harta alih seperti wang tunai dan jam tangan berjenama dan 33 akaun bank berjumlah RM120 juta kini telah dibekukan untuk siasatan lanjut.
Menurut sumber, kegiatan haram ini dipercayai dilakukan antara tahun 2018 hingga 2024. Timbalan Pengerusi NGO tersebut didakwa telah memindahkan dana zakat berjumlah RM230 juta ke dalam akaun syarikat miliknya.
“Siasatan mendapati dana tersebut digunakan bagi tujuan pelaburan serta kegunaan peribadi, sedangkan ia merupakan sumbangan orang ramai untuk golongan yang memerlukan,” kata sumber tersebut.
Susulan itu dua lelaki berusia 50-an dan 60-an yang merupakan pengarah syarikat ditahan antara jam 3 hingga 5 petang di Lembah Klang.
Manakala seorang lagi suspek berusia 50-an ditahan pada jam 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek dijadualkan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut berkaitan penyelewengan dana awam ini.




