Elak langgar Akta Anti Lompat Parti, Umno perlu teliti permohonan bekas ahli

Elak langgar Akta Anti Lompat Parti, Umno perlu teliti permohonan bekas ahli

UMNO bersedia menerima mana-mana bekas ahli atau pemimpin termasuk daripada BERSATU untuk menyertai parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa, selagi tidak bercanggah dengan peruntukan Akta Anti Lompat Parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, permohonan perlu dirujuk kepada peruntukan undang-undang sedia ada sebelum mereka menyertai UMNO, khususnya membabitkan Ahli Parlimen dan tertakluk kepada tafsiran Akta Anti Lompat Parti, lapor BH.

“Saya ahli jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO. Pemimpin daripada BERSATU yang menerima tindakan disiplin itu, kita pulangkan kepada mereka untuk melihat (meneliti) Akta Anti Lompat Parti.

“Jika tidak ada apa-apa halangan dalam Akta Anti Lompat Parti untuk mereka menyertai UMNO, silakan menyertai UMNO. Kalau ada halangan, mereka kena mengatasi halangan itu,” katanya

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, halangan berkenaan bukan datang daripada UMNO, sebaliknya mungkin membabitkan kekangan undang-undang di bawah Akta Anti Lompat Parti.

“Halangan bukan daripada kami, mungkin ada halangan daripada Akta Anti Lompat Parti untuk ahli Parlimen yang sedang menjawat jawatan bagi memasuki UMNO dalam Rumah Bangsa ini. Jika ada halangan, mereka perlu merujuk kepada peguam untuk mentafsirkan akta itu,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berpandangan Akta Anti Lompat Parti wajar dipinda sekiranya ia menghalang ahli politik yang dipecat daripada parti asal untuk menyertai parti lain.

“Jika Akta Anti Lompat Parti menghalang mana-mana mereka yang dikenakan tindakan gantung atau dipecat daripada memasuki parti lain, saya kira akta itu wajar dipinda. Ia bagi memudahkan mana-mana ahli parti yang dipecat oleh partinya memilih mana-mana parti yang ingin mereka sertai,” katanya.