Sultan Selangor mahu lihat penyatuan Melayu, Islam menjadi tiang seri 

Sultan Selangor mahu lihat penyatuan Melayu, Islam menjadi tiang seri 

TITAH Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah harus dilihat dalam semangat yang lebih luas iaitu memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk di negara ini.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata apa yang dizahirkan oleh baginda adalah untuk melihat penyatuan orang Melayu, Islam menjadi tiang seri kepada kekuatan negara.

Katanya, apa yang dititahkan baginda adalah peringatan yang lahir daripada kebijaksanaan institusi Raja, dizahirkan demi kebaikan negeri dan rakyat keseluruhannya.

“Ia bukanlah satu “decree” atau perintah seperti yang disalah tafsir oleh segelintir pemimpin politik.

“Oleh itu titah Tuanku Selangor harus dilihat dalam semangat yang lebih luas iaitu memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk Malaysia dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu.

“Apa yang dizahirkan Tuanku bukan sekadar mengenai perpaduan orang Melayu semata-mata, tetapi bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu sendiri perlu menjadi tiang seri kepada kestabilan negara yang turut melindungi kepentingan semua kaum dan agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Tambahnya, sejarah tamadun Islam sendiri membuktikan bahawa kegemilangan sesuatu peradaban tidak dibina atas perpecahan atau kebencian, tetapi melalui kekuatan ilmu, keadilan, kestabilan dan kemampuan untuk merangkul kepelbagaian ragam.

Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum yang lain.

“Kekuatan sebenar sebuah negara bukan terletak pada siapa yang paling lantang, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling hormat menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

“Seperti titah Tuanku Sultan, kita harus mengambil iktibar daripada kegemilangan tamadun Islam Uthmaniyah, di mana kekuatan mereka lahir daripada kemampuan membina sebuah tamadun yang inklusif, stabil dan membuka ruang kepada masyarakat berbilang latar belakang untuk hidup serta menyumbang ke arah kejayaan dan kemakmuran bersama.

“Justeru, titah Tuanku Selangor harus dilihat sebagai seruan untuk merapatkan saf rakyat, memperkukuhkan keharmonian dan menjauhkan negeri serta negara daripada budaya politik yang memecah-belahkan masyarakat demi menjayakan agenda sempit.

“Janganlah ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini sehingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin serta menjejaskan keharmonian rakyat di negeri Selangor,” katanya.