KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukanlah satu tindakan melulu atau melangkaui pucuk pimpinan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, langkah berani itu telah pun mendapat lampu hijau dan restu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta disokong Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Onn Hafiz menjelaskan, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan komited mengenai angka kerusi tanpa nasihat dan pandangan daripada peringkat tertinggi parti.
“Sebelum saya buat pengumuman itu, saya telah mendapat berkat daripada pucuk pimpinan, Datuk Seri Zahid. Sebab itu saya berani komited dengan angka tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam audio siar Keluar Sekejap Episod 200 yang dijadualkan bersiaran hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan perubahan strategi memandangkan kerjasama politik semasa antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Onn Hafiz kekal dengan pendirian bahawa ketetapan asal itu masih berjalan.
Tegas beliau, matlamat utama BN Johor adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat, dan mampu berkhidmat sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat di negeri itu tanpa sebarang keraguan politik.
“Saya mempunyai keyakinan bahawa keputusan untuk bertanding kesemua jumlah 56 kerusi itu tetap berjalan,” katanya.



