DAP menyarankan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) sekali gus merungkai kemelut yang melanda negeri itu.
Bagaimanapun katanya, perkara itu terserah kepada kebijaksanaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
DAP katanya, telah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Aminuddin untuk pertimbangan lanjut.
Menurut Anthony yang juga Menteri Pengangkutan, mesej kesediaan DAP telah dinyatakan dengan jelas sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor, baru-baru ini.
“Mesej kita sangat jelas, Negeri Sembilan bersedia mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor.
“Jika DUN Johor dibubarkan dalam waktu terdekat, mungkin DUN Negeri Sembilan juga akan mengikut jejak yang sama,” katanya kepada media selepas Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pengangkutan dan Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang SPM Parlimen Seremban, di Seremban, pada Ahad.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar DUN Negeri Sembilan dibubarkan bagi menamatkan kemelut politik yang melanda negeri itu ketika ini.
Beliau berkata, langkah tersebut adalah wajar bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih pentadbiran baharu selepas kedudukan Menteri Besar dilihat goyah.
“Sebaiknya beliau membubarkan DUN dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka nak untuk mentadbir Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu Anthony berkata, ketidakstabilan politik semasa dengan segelintir Adun bermakna “tarik tali” sokongan mereka tidak harus dibiarkan berlarutan kerana ia menjejaskan pentadbiran negeri.
“Kalau kita teruskan begini pun susah. Kita tidak tahu, kadangkala ada sokongan, tapi pada bila-bila masa sahaja sokongan itu boleh ditarik balik,” katanya



