MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Onn Hafiz berkata, pembubaran DUN Johor berkuatkuasa hari ini selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Pembubaran DUN ini selaras dengan amalan demokrasi bagi membolehkan Bangsa Johor memilih kerajaan baharu, kata Onn Hafiz.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menghadap duli yang amat mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, pada hari ini, 1 Jun 2026.
“Sehubungan itu, atas titah perkenan duli yang amat mulia Pemangku Sultan Johor, watikah pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim ke-15 telah diperkenankan berkuat-kuasa pada 1 Jun 2026.
“Ini selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895,” katanya.
Jelas Onn Hafiz keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.
Oleh itu, beliau menyeru kepada semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi ini dengan penuh adab, tertib dan berhemah.
“Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan kemuafakatan Bangsa Johor.
“Semoga Allah SWT memelihara negeri Johor, melindungi rakyatnya serta terus mengurniakan kestabilan, kemakmuran dan keberkatan kepada negeri ini,” katanya.



