Caruman LINDUNG 24 jam kini secara sukarela

Caruman LINDUNG 24 jam kini secara sukarela

KERAJAAN Madani memutuskan untuk menarik balik mandatori pelaksanaan caruman skim kemalangan bukan bencana kerja, LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Jurucakap kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, caruman berkenaan kini tidak lagi diwajibkan kepada pekerja.

Katanya, kerajaan memutuskan untuk menukar status caruman skim LINDUNG 24 Jam sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja kepada secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.

Langkah itu diambil selepas kerajaan meneliti dan mengambil kira pelbagai maklum balas yang diterima daripada masyarakat berhubung skim perlindungan kemalangan di luar waktu bekerja tersebut.

“Caruman itu tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela,” jelas Fahmi dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Fahmi berkata, Kementerian Sumber Manusia akan memperincikan mekanisme pelaksanaan skim berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Jemaah Menteri turut mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk menghentikan serta-merta sebarang perolehan baharu peralatan atau kelengkapan pertahanan dari negara Norway.

Tindakan tegas ini diambil susulan keputusan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dipasang pada kapal Projek Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).