KERAJAAN menafikan dakwaan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengadakan rundingan berkaitan pembayaran semula hutang atau pakej penyelesaian melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar.
“Saya menafikan tuduhan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang membangkitkan dakwaan berdasarkan laporan media antarabangsa termasuk Sarawak Report dan The Wall Street Journal berhubung dakwaan Jho Low bersama delegasi China memasuki Malaysia secara sukarela bagi rundingan berkaitan pakej pembayaran semula 1MDB.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Kementerian Kewangan mengetahui mengenai dakwaan rundingan itu memandangkan isu 1MDB melibatkan pengurusan kewangan kerajaan, selain meminta pengesahan mengenai status penglibatan Jho Low yang masih bebas hingga kini.
Sementara itu, Ching Tong berkata, sejumlah RM48.7 bilion daripada Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE) diluluskan melalui belanjawan tahunan digunakan untuk membiayai obligasi kewangan 1MDB, sejak 2017.
“Sejumlah RM13 bilion daripada DE terpaksa diperuntukkan bagi melunaskan bon 1MDB bernilai AS$3 bilion yang dijamin kerajaan, sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran pada Mac 2023.
“Jumlah ini bersamaan kira-kira 13.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan DE, bagi Belanjawan 2023,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai impak 1MDB terhadap belanjawan negara.




