PRESTASI cemerlang pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak tahun 2018 bakal menjadi ‘senjata’ dan sandaran utama Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan, rekod bersih dan pencapaian positif yang ditunjukkan oleh Aminuddin – atau lebih mesra disapa ‘Tok Min’ – telah terbukti memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurut Fahmi, antara kejayaan ketara di bawah pentadbiran beliau termasuklah peningkatan kutipan zakat, lonjakan hasil pendapatan negeri, serta kemasukan pelaburan baharu yang konsisten.
“Kita lihat prestasi pentadbiran Tok Min sejak 2018 hingga sekarang merupakan prestasi yang sangat baik. Terkini, ada satu pelabuhan baharu yang akan dibina dan pelaburan-pelaburan seperti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri proses penamaan calon bagi kerusi di bawah Parlimen Jempol di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan bahawa isu peluang pekerjaan merupakan antara perkara paling kritikal yang sering dibangkitkan oleh golongan muda, khususnya di kawasan luar bandar seperti Jempol dan Jeram Padang.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa jentera PH, termasuk calon seperti G. Manivannan, akan turun padang bagi menyantuni anak muda serta membentangkan pelan penjanaan ekonomi setempat.
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut menitipkan pesanan agar semua pihak, termasuk pengguna media sosial, mengamalkan budaya politik dan kempen yang sihat. Beliau menasihati orang ramai agar menjauhi penyebaran fitnah, berita palsu, serta sebarang sentimen sensitif melibatkan isu 3R (Raja, Agama, Kaum).
“Kita akan berkempen dengan sihat, kita akan lihat kepada prestasi dan elak daripada kempen mencaci. Fitnah itu tidak sihat untuk demokrasi negara kita,” tegas beliau.




