KERAJAAN memberi jaminan tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati berlaku unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun laporan awal menunjukkan tiada petunjuk berlakunya salah laku, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut tatakelola yang ditetapkan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pihak pengurusan KWAP telah diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.
“Saya telah menemui pengurusan KWAP dan menegaskan supaya mereka memberi kerjasama sepenuhnya. Berdasarkan laporan awal, saya percaya tidak terdapat unsur sedemikian.
“Namun, saya ingin tegaskan bahawa kerajaan tidak boleh bertolak ansur jika terdapat penyelewengan atau rasuah.
“Justeru, SPRM perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan termasuk keputusan yang dibuat oleh panel pelaburan sebelum diluluskan oleh lembaga,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai strategi kerajaan memastikan tabung persaraan negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP terus mampu menjana pulangan terbaik meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
Anwar turut menjawab soalan tambahan daripada Senator Wan Martina Wan Yusoff berhubung usaha transformasi kerajaan dalam memperkukuh proses pemilihan syarikat destinasi pelaburan pada masa hadapan, selain jaminan bahawa dana rakyat akan terus dilindungi melalui amalan tadbir urus yang lebih ketat.
Terdahulu, KWAP memaklumkan pelaburan terlibat adalah RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51 peratus pegangan saham syarikat berkenaan. Isu pelaburan itu kini menjadi perhatian selepas timbul persoalan mengenai prestasi dan pengurusan syarikat tersebut, yang mendorong siasatan lanjut dijalankan oleh SPRM.




