UMNO tidak akan sesekali tebuk atap Kerajaan Perpaduan – Asyraf

UMNO tidak akan sesekali tebuk atap Kerajaan Perpaduan – Asyraf

UMNO memberi jaminan tegas tidak akan sesekali mengkhianati atau ‘menebuk atap’ kerajaan Perpaduan yang menerajui pentadbiran negara ketika ini sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, komitmen tersebut adalah perkara utama yang telah termaktub dalam perjanjian bertulis antara parti-parti politik yang membentuk kerajaan hari ini dan ia wajib dihormati demi kelangsungan negara.

Tegasnya, jaminan ini diulangi bagi menepis keresahan serta rasa kurang senang beberapa pihak yang mendakwa kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, bakal menggugat kestabilan di peringkat Persekutuan.

“Inti pati pertama perjanjian membabitkan permuafakatan. Ini adalah demi untuk menjaga kestabilan, memastikan kemakmuran dan keharmonian negara sepanjang sesi penggal Parlimen ini dapat kita sama-sama pertahankan demi kemajuan negara.

“Selama hampir empat tahun kita bersama dalam kerajaan ini, semua memainkan peranan bersama menjaga kestabilan dan memakmurkan negara. 

“Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan peranan sesiapa. BN tak boleh menafikan PH, PH tak boleh menafikan BN, tak boleh menafikan GRS, GPS dan sebagainya. Itu asas yang penting kerana kita akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Yang kedua, inti pati penting ialah perjanjian ini terpakai sehingga pilihan raya umum (PRU16). Sebab itulah BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri sentiasa menyebut bahawa kita tidak akan sesekali menebuk atap kerana itu perjanjian yang kita sepakati bersama,” katanya seperti dipetik BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Perantisan MARA-SWITCHPRO di Hotel Premiera, di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut mengenai polemik kerjasama BN dan PN di peringkat PRN Johor serta Negeri Sembilan, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan meminta semua pihak agar tidak mencampuradukkan dinamika politik politik negeri dengan Persekutuan.

Tegasnya, sekiranya ada mana-mana pihak di dalam blok kerajaan yang masih tidak berpuas hati dengan ketetapan sedia ada, pilihan terbaik adalah menyerahkan semula mandat kepada rakyat melalui pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam konteks Johor dan juga Negeri Sembilan itu berbeza, kerana itu sudah berlaku pilihan raya. Tetapi jangan kita campur aduk PRN dengan persefahaman dan perjanjian yang ada di peringkat Persekutuan.

“Dalam konteks Persekutuan ini, portfolio kementerian yang dipegang oleh menteri, timbalan menteri BN serta agensi-agensi seperti MARA, RISDA, dan FELCRA, semuanya sudah disepakati dalam perjanjian.

“Kalau mana-mana pihak nak minta supaya kita leraikan semua perkara ini, maknanya kita kena semua sepakat bahawa kita kena serahkan balik mandat ini kepada rakyat. Maknanya bubarlah (Parlimen). Di situ baru hilang dan terlerailah perjanjian permuafakatan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini,” katanya.