BARISAN Nasional (BN) menawarkan 50,000 peluang pekerjaan kepada anak muda Negeri Sembilan jika parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri 1 Ogos nanti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu antara yang dikemukakan dalam manifesto BN Negeri Sembilan.
Manifesto itu kata Ahmad Zahid akan dilancarkan minggu ini oleh pemimpin UMNO-BN negeri.
Jelasnya, tawaran untuk menyediakan 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun adalah sesuatu yang realistik.
“Boleh (sediakan) dengan adanya kawasan industri baharu di Negeri Sembilan ini, bahkan banyak FDI (pelaburan langsung asing) masuk ke kawasan Negeri Sembilan.
“Saya sendiri telah usahakan untuk halal industrial park…hub untuk pengeluaran produk-produk halal dan telah bawa pelabur luar untuk pasaran luar negara dengan pihak pembeli sekali terutama dari segi (industri) vaksin.
“Pelabur telah ada kerja tanah akan dimukakan, tapi tokoh-tokoh berkaitan sibuk dengan pilihan raya,” katanya kepada media Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama kakitangan Kemas di Seremban hari ini.
Semalam, PH melancarkan Manifesto PRN Negeri Sembilan dengan menawarkan 30,000 peluang pekerjaan selain menjadi negeri itu sebagai hub pelaburan setanding Lembah Klang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata jika BN menang ia akan menjadi “game changer” kepada negeri berkenaan.
Apatah lagi menteri yang memegang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dipegang oleh pemimpin BN.



