BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.
Ia membabitkan wang tunai berjumlah RM14 juta dan pelbagai mata wang asing, lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak serta syiling emas.
Mata wang asing terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, AED34.7 juta dan AUD352,850.
Ismail Sabri yang mengenakan kemeja putih dan kot hitam tenang sebelum pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan,” katanya.
Ahli Parlimen Bera itu didakwa memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis itu dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya dan lebih tinggi pada 10 Januari 2025.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa tidak mengisytiharkan sejumlah harta seperti yang dikehendaki dalam notis berkenaan.



